Selasa, 19 Mei 2009

Ke Mana Hala Tuju Murid Lemah ?

Kadar keciciran murid setiap tahun adalah semakin tinggi. Kadar ini amat membimbangkan kita. Apa yang terjadi kepada mereka ini apabila menamatkan persekolahan lebih awal. Ramai antara mereka yang tidak membuat apa-apa,sekadar melepak atau menganggur sampai bila-bila. Kalau ada yang bekerja,hanya cukup untuk makan diri sendiri bahkan kadang-kadang tidak cukup pun !

Kebanyakkan mereka adalah anak-anak MELAYU ! Apa akan terjadi kepada negara dimasa hadapan.. Mereka yang tercicir ini kebanyakan dari golongan berpendapatan rendah dan murid-murid yang tidak boleh membaca dan mengira. Mereka tidak dapat bersaing dengan rakan-rakan sebaya dalam bidang akademik.

Saya berharap pihak kerajaan dapat mengadakan satu program khas ataupun setidak-tidaknya membuka peluang kepada mereka yang rendah dan lemah dalam bidang akademik untuk meneruskan pembelajaran mereka dalam bidang kemahiran. Sekolah menengah teknik dibuka untuk murid bermula dari Tingkatan 1 lagi. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai kemahiran dalam bidang seperti pembinaan,baik pulih,elektrikal dan sebagainya. Ataupun sediakan satu sekolah kemahiran khas untuk murid-murid ini.

Saya percaya mereka ini bukanlah lemah segala-galanya. Kita tidak boleh paksa anak-anak ini dalam bidang yang mereka tidak boleh teruskan maka kita serapkan terus mereka dalam bidang kemahiran.Kebanyakkan mereka lebih mahir dan berminat dalam bidang kemahiran ini. Tidak perlulah negara mengimpot pekerja-pekerja asing untuk mengisi bidang pembinaan, pembuatan dan sebagainya.Kita tidak perlu membazir masa dan wang, gunakan modal insan warga kita dengan sebaik-baiknya.

Ahad, 17 Mei 2009

Apa Keistimewaan Anak Guru ?

Telah lama saya ingin menyatakan perkara ini. Samada sedar atau tidak , anak para guru yang mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan dan ingin memohon ke sekolah berasrama penuh,MRSM ataupun ke IPTA terpaksa bersaing dengan para pelajar lain. Dimana keistimewaan dan penghargaan kepada para pendidik yang telah banyak berjasa mendidik pelajar menjadi insan yang cemerlang tetapi anak sendiri masih tidak menentu hala tuju?

Saya menulis atas pemerhatian dan pengalaman saya sendiri. Jika anak tentera dan polis ada diberi keistimewaan seperti MRSM untuk anak polis dan tentera dan yang terbaru untuk anak peneroka, bagaimana dengan anak guru? Sekurang-kurangnya berilah sedikit 'advantage' kepada anak guru sebagai penghargaan kepada mereka. Mereka yang cemerlang semakin bertambah dan persaingan semakin sengit,berilah anak kami sedikit peluang,mereka juga berkelayakan.

Selamat Hari Guru - Guru dan beban tugas...sampai bila ?

Sekali lagi kita menyambut hari yang istimewa buat semua guru... Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidikan seluruh Malaysia.

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi...

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Itulah petikan sebahagaian sajak oleh Usman Awang yang sering dideklamasikan semasa sambutan hari guru. Di sebalik kemeriahan sambutan ini, masih banyak lagi kesusahan,beban dan kesengsaraan yang dialami oleh guru masih tidak terbela.

Apa yang ketara ialah beban tugas guru yang semakin hari semakin bertambah. Saya tak tahu apa terjadi tentang kajian yang telah dibuat mengenai beban tugas guru sehingga kini masih tiada tindak susul untuk mengatasinya. Pihak atasan sudah sedia maklum tentang beban tugas guru, tapi masih berdiam diri bahkan menambah beban para guru dengan pelbagai tugas pekeranian. Walaupun para guru tidak membantah atau berpiket tetapi janganlah sampai sanggup membebankan kami dengan pelbagai tugas selain dari tugas hakiki.

Bagi para guru ,mereka memang cukup memahami tentang beban tugas yang saya maksudkan. Guru juga mempunyai perasaan,keluarga dan tanggungjawab lain selain tugas hakiki. Mungkin pihak luar kurang percaya jika saya katakan bahawa saya sendiri sudah beberapa bulan melakukan tugasan 7 hari seminggu ! Selain kelas harian, kelas tambahan petang,kelas malam,kelas SBT (hari Jumaat & Sabtu) hujung minggu bagi Terengganu...termasuk juga menghantar murid untuk pertandingan hoki selama 5 hari, pertandingan nasyid,seminar,mesyuarat,kursus dalaman dan banyak lagi. Ini tidak termasuk tugas perkeranian seperti memasukkan data murid SMM & BMM, maklumat kesihatan murid,mengisi & menutup jadual kedatangan, buat minit mesyuarat & laporan, perancangan tahunan unit,kelab dan panitia ,mengisi data & membuat pemilihan murid RMT dan KWAMP dan banyak lagi.

Itulah sebahagian tugas guru kini dan sampai bila kami harus terus begini... Diharap ada pihak yang sudi mengkaji dan membuat penyelesaian agar tugas guru yang sebenar dapat di lakukan dengan baik dan berkesan.

Ahad, 1 Februari 2009

ISU PPSMI LAGI

Salam buat semua,
PPSMI masih menjadi isu utama dalam pendidikan di Malaysia. Ramai pihak yang membantah perlaksanaan program ini.

Bagi saya,sebagai seorang pendidik & juga bapa kepada anak-anak saya, PPSMI bukanlah satu isu yang begitu kritikal untuk diperkatakan dan dibantah secara besar-besaran. Seperti yang pernah saya katakan dalam artikel yang lepas, PPSMI masih relevan dan patut diteruskan cuma perlu sedikit pengubahsuaian agar ia lebih berkesan dan bermanfaat untuk pelajar.

Anak sulung saya yang kini berada di tingkatan 1,merupakan seorang dari pelajar pertama yang terlibat dalam perlaksanaan PPSMI ini. Beliau masih seperti anak Melayu yang lain,tetap Melayu,bertutur Bahasa Melayu dalam loghat Terengganu dan tidak nampak tanda-tanda beliau kehilangan jati diri sebagai anak Melayu kerana belajar Matematik & Sains dalam Bahasa Inggeris !

PPSMI adalah pengajaran Matematik & Sains dalam Bahasa Inggeris bukanlah pengajaran bahasa Inggeris,jadi tidak timbul isu ia akan menggugat bahasa Ibunda pelajar kita. Mereka hanya didedahkan dengan istilah-istilah dan kaedah serta formula dalam bahasa Inggeris untuk kemudahan mereka di masa depan. Bukan untuk mereka melupakan Bahasa Melayu sepenuhnya. Penguasaan dan keputusan matapelajaran Bahasa Melayu pelajar masih tinggi dan tidak terjejas. Sepanjang pengalaman saya,tiada pelajar yang keliru atau tersasul untuk menulis dan membaca dalam Bahasa Melayu disebabkan belajar Matematik & Sains dalam Bahasa Inggeris.

Terdapat pandangan bahawa PPSMI hanya untuk pelajar bandar sementara pelajar luar bandar akan terus ketinggalan. Ini tidak benar sama sekali. Saya bercakap atas dasar pengalaman saya mengajar murid di kawasan luar bandar. Bukan semua mereka yang ketinggalan tetapi sebilangan pelajar yang lemah dan tidak berminat sahaja yang akan ketinggalan. Bahkan jika diajar dalam Bahasa Melayu sekalipun mereka tetap lemah dan tertinggal.Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mereka begini antaranya faktor baka yang membuat sebilangan pelajar lemah dalam bidang akademik, faktor persekitaran yang kurang membantu, kurangnya kemudahan & pendedahan, mentaliti sebilangan guru yang tidak mahu berubah dan lain-lain yang berkaitan.

Semua ini hanya kerana perasaan takut untuk berubah dan takut menerima perubahan arus zaman. Jika dahulu,semasa zaman selepas kemerdekaan, penguasaan Bahasa Melayu pelajar tetap utuh walaupun hampir semua matapelajaran menggunakan bahasa penghantar dalam Bahasa Inggeris. Mereka ini amat hebat dalam penguasaan & pertuturan dalam Bahasa Inggeris dan tidak timbul pula isu meminggirkan bahasa Ibunda. Di kalangan mereka inilah lahirnya pemimpin-pemimpin yang hebat dan bertaraf antarabangsa.

Apalah salahnya pelajar generasi baru di zaman siber yang semakin mencabar ini dibekalkan dengan ilmu yang sesuai dengan zaman mereka agar dapat menempuhi cabaran dengan lebih baik dan berkesan. Mengapa perlu ditimbulkan isu peminggiran bahasa Ibunda sedangkan tiada pelajar Melayu yang gagap atau terbelit lidah bila bertutur dalam Bahasa Melayu.

Di waktu ini, Bahasa Melayulah yang lebih banyak merosakkan Bahasa Melayu. Cuba lihat bagaimana berleluasanya penggunaan bahasa ringkas atau SMS didalam telefon dan laman sembang. Isu ini yang patut ahli-ahli bahasa fikirkan kesan & akibatnya. Jangan kerana sebab politik ,kepentingan peribadi dan sebagainya kita cuba menjadi hero atau wira sedangkan banyak lagi isu yang lebih penting yang perlu difikirkan....

Setiap ilmu yang bermanfaat itu adalah baik dan tidak harus dikekang atau disekat...

Isnin, 5 Januari 2009

BOIKOT BARANGAN ISRAEL-TANDA PROTES

Ini lah yang mampu kita buat sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin.Umat Islam ditindas terang-terangan tapi tiada siapa yang mampu membuat apa-apa...
Sila baca AYAT AL-FATH (26-27) & YUNUS (85-88). DOAKAN KEMUSNAHAN ISRAIL.


Sila klik sini untuk lebih banyak maklumat barangan yahudi...

Khamis, 1 Januari 2009

Selamat Tahun Baru 2009

Ucapan ini ditujukan kepada semua pengunjung semoga tahun ini memberi makna dan kejayaan kepada kita. Kebiasaannya tahun baru diiringi dengan azam baru atau meneruskan azam yang tidak dapat dipenuhi tahun lepas. Tidak kira apa pun azam kita, haruslah ada satu semngat dan dorongan untuk kita memenuhi azam yang dibuat. Kepada calon-calon UPSR 2009, azam anda adalah unutk mendapat keputusan 5 A. Apa yang saya ingin tekankan, bukan sekadar 5 A yang dikejar,tetapi gred A yang cemerlang iaitu dengan mendapat markah 95% ke atas.

Berdasarkan pengalaman lepas, apa yang saya lihat ramai calon UPSR tidak mendapat tempat di Sekolah Berasrama Penuh kerana persaingan yang sengit. Calon mendapat 5A terlalu ramai manakala bilangan tempat yang ditawarkan adalah terhad. Maka,ramai yang tidak berjaya meneruskan pembelajaran di SBP. Salah satu kelebihan yang membolehkan mereka ditempatkan di SBP adalah mereka yang mendapat gred A yang cemerlang disamping penglibatan mereka di dalam aktiviti ko ko dan ko akademik.

Saranan saya kepada calon-calon UPSR 2009 adalah, untuk mencapai gred A yang cemerlang maka mulakan langkah awal, berusaha bersungguh-sungguh dengan keazaman yang tinggi dan tanpa jemu menuntut ilmu. Semoga kejayaan akan mengiringi anda.