Ahad, 1 Februari 2009

ISU PPSMI LAGI

Salam buat semua,
PPSMI masih menjadi isu utama dalam pendidikan di Malaysia. Ramai pihak yang membantah perlaksanaan program ini.

Bagi saya,sebagai seorang pendidik & juga bapa kepada anak-anak saya, PPSMI bukanlah satu isu yang begitu kritikal untuk diperkatakan dan dibantah secara besar-besaran. Seperti yang pernah saya katakan dalam artikel yang lepas, PPSMI masih relevan dan patut diteruskan cuma perlu sedikit pengubahsuaian agar ia lebih berkesan dan bermanfaat untuk pelajar.

Anak sulung saya yang kini berada di tingkatan 1,merupakan seorang dari pelajar pertama yang terlibat dalam perlaksanaan PPSMI ini. Beliau masih seperti anak Melayu yang lain,tetap Melayu,bertutur Bahasa Melayu dalam loghat Terengganu dan tidak nampak tanda-tanda beliau kehilangan jati diri sebagai anak Melayu kerana belajar Matematik & Sains dalam Bahasa Inggeris !

PPSMI adalah pengajaran Matematik & Sains dalam Bahasa Inggeris bukanlah pengajaran bahasa Inggeris,jadi tidak timbul isu ia akan menggugat bahasa Ibunda pelajar kita. Mereka hanya didedahkan dengan istilah-istilah dan kaedah serta formula dalam bahasa Inggeris untuk kemudahan mereka di masa depan. Bukan untuk mereka melupakan Bahasa Melayu sepenuhnya. Penguasaan dan keputusan matapelajaran Bahasa Melayu pelajar masih tinggi dan tidak terjejas. Sepanjang pengalaman saya,tiada pelajar yang keliru atau tersasul untuk menulis dan membaca dalam Bahasa Melayu disebabkan belajar Matematik & Sains dalam Bahasa Inggeris.

Terdapat pandangan bahawa PPSMI hanya untuk pelajar bandar sementara pelajar luar bandar akan terus ketinggalan. Ini tidak benar sama sekali. Saya bercakap atas dasar pengalaman saya mengajar murid di kawasan luar bandar. Bukan semua mereka yang ketinggalan tetapi sebilangan pelajar yang lemah dan tidak berminat sahaja yang akan ketinggalan. Bahkan jika diajar dalam Bahasa Melayu sekalipun mereka tetap lemah dan tertinggal.Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mereka begini antaranya faktor baka yang membuat sebilangan pelajar lemah dalam bidang akademik, faktor persekitaran yang kurang membantu, kurangnya kemudahan & pendedahan, mentaliti sebilangan guru yang tidak mahu berubah dan lain-lain yang berkaitan.

Semua ini hanya kerana perasaan takut untuk berubah dan takut menerima perubahan arus zaman. Jika dahulu,semasa zaman selepas kemerdekaan, penguasaan Bahasa Melayu pelajar tetap utuh walaupun hampir semua matapelajaran menggunakan bahasa penghantar dalam Bahasa Inggeris. Mereka ini amat hebat dalam penguasaan & pertuturan dalam Bahasa Inggeris dan tidak timbul pula isu meminggirkan bahasa Ibunda. Di kalangan mereka inilah lahirnya pemimpin-pemimpin yang hebat dan bertaraf antarabangsa.

Apalah salahnya pelajar generasi baru di zaman siber yang semakin mencabar ini dibekalkan dengan ilmu yang sesuai dengan zaman mereka agar dapat menempuhi cabaran dengan lebih baik dan berkesan. Mengapa perlu ditimbulkan isu peminggiran bahasa Ibunda sedangkan tiada pelajar Melayu yang gagap atau terbelit lidah bila bertutur dalam Bahasa Melayu.

Di waktu ini, Bahasa Melayulah yang lebih banyak merosakkan Bahasa Melayu. Cuba lihat bagaimana berleluasanya penggunaan bahasa ringkas atau SMS didalam telefon dan laman sembang. Isu ini yang patut ahli-ahli bahasa fikirkan kesan & akibatnya. Jangan kerana sebab politik ,kepentingan peribadi dan sebagainya kita cuba menjadi hero atau wira sedangkan banyak lagi isu yang lebih penting yang perlu difikirkan....

Setiap ilmu yang bermanfaat itu adalah baik dan tidak harus dikekang atau disekat...