Selasa, 19 Mei 2009

Ke Mana Hala Tuju Murid Lemah ?

Kadar keciciran murid setiap tahun adalah semakin tinggi. Kadar ini amat membimbangkan kita. Apa yang terjadi kepada mereka ini apabila menamatkan persekolahan lebih awal. Ramai antara mereka yang tidak membuat apa-apa,sekadar melepak atau menganggur sampai bila-bila. Kalau ada yang bekerja,hanya cukup untuk makan diri sendiri bahkan kadang-kadang tidak cukup pun !

Kebanyakkan mereka adalah anak-anak MELAYU ! Apa akan terjadi kepada negara dimasa hadapan.. Mereka yang tercicir ini kebanyakan dari golongan berpendapatan rendah dan murid-murid yang tidak boleh membaca dan mengira. Mereka tidak dapat bersaing dengan rakan-rakan sebaya dalam bidang akademik.

Saya berharap pihak kerajaan dapat mengadakan satu program khas ataupun setidak-tidaknya membuka peluang kepada mereka yang rendah dan lemah dalam bidang akademik untuk meneruskan pembelajaran mereka dalam bidang kemahiran. Sekolah menengah teknik dibuka untuk murid bermula dari Tingkatan 1 lagi. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai kemahiran dalam bidang seperti pembinaan,baik pulih,elektrikal dan sebagainya. Ataupun sediakan satu sekolah kemahiran khas untuk murid-murid ini.

Saya percaya mereka ini bukanlah lemah segala-galanya. Kita tidak boleh paksa anak-anak ini dalam bidang yang mereka tidak boleh teruskan maka kita serapkan terus mereka dalam bidang kemahiran.Kebanyakkan mereka lebih mahir dan berminat dalam bidang kemahiran ini. Tidak perlulah negara mengimpot pekerja-pekerja asing untuk mengisi bidang pembinaan, pembuatan dan sebagainya.Kita tidak perlu membazir masa dan wang, gunakan modal insan warga kita dengan sebaik-baiknya.

Ahad, 17 Mei 2009

Apa Keistimewaan Anak Guru ?

Telah lama saya ingin menyatakan perkara ini. Samada sedar atau tidak , anak para guru yang mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan dan ingin memohon ke sekolah berasrama penuh,MRSM ataupun ke IPTA terpaksa bersaing dengan para pelajar lain. Dimana keistimewaan dan penghargaan kepada para pendidik yang telah banyak berjasa mendidik pelajar menjadi insan yang cemerlang tetapi anak sendiri masih tidak menentu hala tuju?

Saya menulis atas pemerhatian dan pengalaman saya sendiri. Jika anak tentera dan polis ada diberi keistimewaan seperti MRSM untuk anak polis dan tentera dan yang terbaru untuk anak peneroka, bagaimana dengan anak guru? Sekurang-kurangnya berilah sedikit 'advantage' kepada anak guru sebagai penghargaan kepada mereka. Mereka yang cemerlang semakin bertambah dan persaingan semakin sengit,berilah anak kami sedikit peluang,mereka juga berkelayakan.

Selamat Hari Guru - Guru dan beban tugas...sampai bila ?

Sekali lagi kita menyambut hari yang istimewa buat semua guru... Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidikan seluruh Malaysia.

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi...

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Itulah petikan sebahagaian sajak oleh Usman Awang yang sering dideklamasikan semasa sambutan hari guru. Di sebalik kemeriahan sambutan ini, masih banyak lagi kesusahan,beban dan kesengsaraan yang dialami oleh guru masih tidak terbela.

Apa yang ketara ialah beban tugas guru yang semakin hari semakin bertambah. Saya tak tahu apa terjadi tentang kajian yang telah dibuat mengenai beban tugas guru sehingga kini masih tiada tindak susul untuk mengatasinya. Pihak atasan sudah sedia maklum tentang beban tugas guru, tapi masih berdiam diri bahkan menambah beban para guru dengan pelbagai tugas pekeranian. Walaupun para guru tidak membantah atau berpiket tetapi janganlah sampai sanggup membebankan kami dengan pelbagai tugas selain dari tugas hakiki.

Bagi para guru ,mereka memang cukup memahami tentang beban tugas yang saya maksudkan. Guru juga mempunyai perasaan,keluarga dan tanggungjawab lain selain tugas hakiki. Mungkin pihak luar kurang percaya jika saya katakan bahawa saya sendiri sudah beberapa bulan melakukan tugasan 7 hari seminggu ! Selain kelas harian, kelas tambahan petang,kelas malam,kelas SBT (hari Jumaat & Sabtu) hujung minggu bagi Terengganu...termasuk juga menghantar murid untuk pertandingan hoki selama 5 hari, pertandingan nasyid,seminar,mesyuarat,kursus dalaman dan banyak lagi. Ini tidak termasuk tugas perkeranian seperti memasukkan data murid SMM & BMM, maklumat kesihatan murid,mengisi & menutup jadual kedatangan, buat minit mesyuarat & laporan, perancangan tahunan unit,kelab dan panitia ,mengisi data & membuat pemilihan murid RMT dan KWAMP dan banyak lagi.

Itulah sebahagian tugas guru kini dan sampai bila kami harus terus begini... Diharap ada pihak yang sudi mengkaji dan membuat penyelesaian agar tugas guru yang sebenar dapat di lakukan dengan baik dan berkesan.